Remaja pada masa kini banyak menggunakan istilah-istilah bahasa yang kurang difahami oleh golongan yang sudah berusia. Mereka banyak menggunakan istilah-istilah baru yang tidak pernah wujud dalam kamus bahasa Melayu dahulu. Bahasa yang digunapakai oleh mereka ini disebut bahasa slanga. Beberapa pendapat umum yang dikemukakan oleh orang ramai yang mendefinisikan bahasa slanga sebagai bahasa dialek, namun ada juga yang mengatakan bahasa slanga sebagai bahasa mesra. Sebenarnya menurut Kamus Dewan, bahasa slanga ialah kata-kata, ungkapan dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetapi lazim digunakan dalam percakapan tidak rasmi.
Salah satu daripada jenis bahasa tak formal ialah bahasa slanga. Apabila diajukan pertanyaan kepada mereka apakah yang dimaksudkan dengan 'slanga', pelbagai jawapan diberikan. Ada yang menyatakan bahawa slanga ialah dialek, ada yang mengaitkan slanga dengan cara pertuturan dan ada juga yang menyatakan slanga sebagai bahasa mesra. Walaupun bentuk bahasa slanga termasuk dalam jenis bahasa bahasa tak formal yang digunakan untuk perbualan biasa,namum pengaruh bahasa slanga ini kepada remaja agak membimbangkan.
Menurut “The Oxford Companion to the English Language” oleh Tom McArthur (1996) istilah slanga ini berasal dari abad ke-18 yang bermaksud “origin uncertain” iaitu ketidaktentuan sebenarnya. Secara etimologi kata, slanga berasal dari kata “sling” iaitu sebahagian daripada ungkapan yang dihubungkaitkan dengan “beggar language and rogues language” iaitu bahasa kelompok pengemis dan anak jalanan. Slanga merupakan kosa kata yang tidak baku, tidak standard, sering kali berubah dan secara umum berbeza dengan kata kosa kata lainnya. Slanga sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja.
Golongan remaja yang mempopularkan bahasa slanga selalunya memanipulasikan ungkapan atau perkataan dengan memberi makna baharu kepada perkataan tersebut, contohnya cun,mengancam, bro, wak lu, wa, der, cikaro, balak, usya, hampeh, kantoi, poyo, kacang, ayat, awek, pakwe, skima, jambu, skodeng, member sound dan sebagainya. Penggunaan bahasa slanga bukanlah fenomena baru yang melanda bahasa Melayu. Bahasa slanga juga turut dipopularkan oleh penyanyi rock. Ungkapan-ungkapan yang popular pada awal tahun 80-an ialah tangkap cintan, tangkap leleh, mengancam, tangkap nangis di samping penggunaan ganti nama 'lu' dan 'gua'.
Melalui ruangan 'chatting' dalam internet pula pelbagai bentuk slanga terhasil, antaranya, slanga yang terbentuk daripada percantuman dua perkataan seperti pekabor (daripada apa khabar), askum (assalamualaikum), saya menjadi sayer, mana menjadi maner dan banyak lagi. Pengaruh bahasa slanga yang semakin berkembang penggunaannya mendatangkan kerisauan kepada ibu bapa, malah bagi para pingustik juga yang tidak begitu setuju dengan pengaruh bahasa slanga ini. Pada saya, walaupun perkembangan bentuk slanga tidaklah begitu membimbangkan, saya khuatir penggunaannya akan menular daripada bentuk lisan kepada bentuk penulisan. Penggunaan bahasa slanga jika tidak dipantau dibimbangi akan merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu hari ini, lebih-lebih lagi dengan kedudukan bahasa kita yang seolah-olah makin tiada tempat lagi di negara sendiri.
No comments:
Post a Comment