Tuesday, 6 November 2012

PENDERAAN KANAK-KANAK


PENDERAAN KANAK-KANAK
Saban hari, kes penderaan kanak-kanak sering menjadi tajuk utama di muka hadapan akhbar-akhbar tempatan. Kes penderaan kanak-kanak di negara ini dilaporkan semakin meningkat dari setahun ke setahun. Kanak-kanak yang menjadi mangsa adalah tidak mengira umur sehinggakan bayi seklaipun turut menjadi mangsa. Kebiasaannya, umur kanak-kanak yang menjadi mangsa kes penderaan berumur antara setahun keatas sehingga umur dua belas tahun. Mangsa penderaan seperti kanak-kanak lelaki dan wanita. Pelbagai punca dikenalpasti sebagai faktor yang mendorong berlakunya kes penderaan ini seperti tekanan, masalah keluarga, masalah kewangan, masalah psikologi serta gangguan jiwa, tekanan dari pihak luar, balas dendam dan sebagainya. Kanak-kanak yang tidak bersalah menjadi tempat melepaskan perasaan dan balas dendam dengan menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa. Pelbagai bentuk penderaan yang dilakukan ke atas kanak-kanak seperti dipukul dengan benda keras pada badan, dihumban ke dalam tandas, didera dengan seterika panas, disimbah air panas, dirotan seluruh badan, dihenyak dengan bantal dan sebagainya. Bagi mengelakkan masalah ini terus berlaku, laporkan kes penderaan yang berlaku di sekitar kawasan anda kepada pihak berkuasa seperti pihak polis.

MASALAH MEMBACA


 MASALAH MEMBACA
Masalah membaca di kalangan murid sekolah menjadi perkara luar biasa lagi walaupun mereka telah mengikuti pembelajaran bacaan terutama dalam pelajaran bahasa Melayu. Kemahiran membaca merentas semua mata pelajaran dan kelemahan dalam kemahiran membaca akan menyebabkan pencapaian rendah dalam pelajaran di sekolah. Guru perlu mengesan kelemahan mambaca muridnya dan seterusnya menjalan pengajaran pemulihan bacaan dengan segera. Berbagai-bagai kaedah dan teknik mengajar bacaan yang boleh digunakan oleh guru untuk mengajar bacaan. Kaedah dan teknik  mengajar bacaan yang digunakan oleh guru mestilah sesuai dengan kebolehan membaca murid. Terdapat beberapa jenis masalah bacaan murid seperti membuang atau meninggalkan huruf, ulangan, gentian dan sebagainya. Seseorang murid yang mempunyai masalah membaca mempunyai tanda-tanda awal seperti membatang suku kata terlebih dahulu sebelum dapat meyebut keseluruhan perkataan, bacaan tersekat-sekat, iaitu perkataan demi perkataan dan tidak lancar, teragak-agak, membaca terlalu cepat atau gopoh tanpa menghiraukan tanda bacaan, membaca terlalu lambat atau merangkak-rangkak, menunjuk perkataan dengan jari ketika membaca, tingkah laku yang tidak selesa seperti megejip-ngejip mata, mengerut dahi, menggeleng kepala, suara terlalu perlahan dan tidak jelas, kedudukan mata terlalu dekat dengan bahan bacaan, cuba mengelak daripada aktiviti membaca dan tidak boleh membaca langsung. Oleh itu, guru mestilah peka dengan petunjuk-petunjuk tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid-murid kerana tingkah laku tersebut menunjukkan murid berkenaan menghadapi masalah dalam bacaan. 

Saturday, 3 November 2012

PENAGIHAN DADAH DALAM KALANGAN MASYARAKAT


PENAGIHAN DADAH DALAM KALANGAN MASYARAKAT
Pada masa kini, dadah mudah didapati di mana-mana sahaja.Pengambilan dadah secara haram sangat membimbangkan kerana sesiapa sahaja boleh terlibat dengannya jika tidak dipantau. Dadah mudah didapati terutamanya di negeri-negeri yang berhampiran dengan negara jiran seperti negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri lain. Dadah terdapat dalam pelbagai jenis seperti pil kuda, ice, syabu, ganja, pil khayal dan sebagainya. Pengambilan dadah secara berlebihan akan mendatangkan kesan buruk kepada seseorang individu dan akan membuatkan kehidupan seseoarng itu sengsara. Gejala penagihan dadah dalam kalangan masyarakat hari ini terutamanya dalam kalangan remaja yang menjadi asset penting negara sangat membimbangkan.Banyak faktor yang dikenalpasti yang menjadi punca kepada gejala penagihan dadah.Antara faktor pendorong kepada penagihan dadah ialah jati diri yang tidak kuat, terpengaruh dengan rakan, tekanan, masalah keluarga, sikap ingin mencuba dan sebagainya. Banyak cara yang akan dilakukan bagi mendapatkan bekalan dadah sekiranya seseorang itu berada di tahap ketagihan yang serius. Gejala ini sangat membimbangkan semua pihak terutamanya keluarga. Memandangkan bekalan dadah mudah diperoleh melalui penyeludupan masuk ke negara ini, ia akan melibatkan lebih ramai mangsa yang terpengaruh dengan penagihan ini. Bagi seseorang yang mempunyai sikap ingin mencuba, sedikit ajakan sahaja akan terus membuatkannya terpengaruh. Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini, ibu bapa khususnya harus memantau segala tindakan anak-anak dengan bijaksana supaya gejala penagihan dadah tidak merebak ke dalam masyarakat.

KOC KHUSUS WANITA


KOC KHUSUS WANITA
Kerajaan Malaysia sangat prihatin akan kepentingan wanita. Bagi menunjukkan keprihatinannya itu, kerjaan telah mengadakan koc khusus bagi wanita seperti koc wanita pada komuter.Memandangkan wanita itu bersifat lemah, pembinaan koc khusus bagi wanita adalah sangat bagus dan tindakan kerajaan ini harus dipuji. Kewujudan koc khusus kepada wanita dalam kenderaan awam amat bagus kerana ia dapat memberi banyak manfaat kepada pengguna wanita, khususnya bagi ibu mengandung, warga tua dan juga wanita-wanita yang lain. Dengan adanya koc khusus wanita ini juga, kaum wanita akan berasa lebih selamat untuk menaiki kenderaan awam. Mereka akan berasakan keselamatan mereka terjaga terutamanya pada masa kini kerana banyak kes ragut yang mengancam wanita untuk keluar berjalan-jalan atau bekerja. Bagi ibu yang beranak menyusu pula, mereka akan lebih selesa untuk meyusukan anak mereka ketika dalam komuter misalnya. Oleh itu, koc khusus bagi wanita dalam kenderaan awam seperti itu harus dikekalkan kerana banyak manfaa yang diperoleh darinya.

PENYALAHGUNAAN TELEFON BIMBIT DALAM KALANGAN REMAJA


PENYALAHGUNAAN TELEFON BIMBIT DALAM KALANGAN REMAJA
Telefon bimbit sememangnya alat komunikasi yang penting pada masa kini.Penggunaannya kini bukan sahaja oleh golongan dewasa dan remaja, malah juga oleh kanak-kanak di peringkat sekolah rendah yang baru mencapai umur sembilan ke atas.Telefon bimbit sememangnya memberikan banyak manfaat kepada pengguna. Manfaat yang boleh didapati melalui panggunaan telefon bimbit antaranya adalah dapat berhubung dengan orang yang berada tidak kira sama ada dekat atau jauh, bermanfaat digunakan ketika kecemasan seperti seorang ibu yang ingin melahirkan anak, kemalangan, kes penculikan dan sebagainya. Telefon bimbit boleh didapati dalam palbagai jenama seperti Nokia, Samsung, Sony Ericson dan sebagainya.Kemudahan yang terdapat pada telefon bimbit, khususnya “internet” memudahkan seseorang pengguna untuk mendapatkan maklumat.Namun demikian, penyalahgunaan “internet” boleh berlaku di mana-mana sahaja oleh pelbagai pihak terutamanya remaja masa kini.Penggunaan “internet” yang dianggap dunia tanpa sempdan membolehkan semua orang mengakses maklumat dengan mudah. Bagi golongan remaja yang tidak mempunyai pengawasan daripada orang dewasa atau orang yang lebih tua, mereka akan mudah melihat video lucah di dalam “internet” dan tindakannya ini akan mendorong mereka untuk melakukan perkara sumbang. Oleh itu, pemantauan daripada golongan yang lebih dewasa amat perlu supaya setiap tindakan remaja khususnya dapat diawasi dengan baik.

UTAMAKAN KESELAMATAN


UTAMAKAN KESELAMATAN
Menjelang musim perayaan khususnya, ramai pengguna jalan raya yang berpusu-pusu di atas jalan raya untuk ke destinasi masing-masing.Terdapat pelbagai jenis ragam pengguna yang dapat dilihat apabila berada di atas jalan raya.Ada yang menunggang motosikal, berkereta, berkontena dan sebagainya.Masing-masing ingin menuju ke tempat yang dirancang.Kebayakan pengguna jalan raya ingin sampai cepat ke destinasi. Oleh itu, ramai yang mengabaikan aspek keselamatan seperti tidak memakai tali pinggang keledar,tidak memakai topi keledar, menggelapkan cermin kereta dan sebagainya. Semasa dalam perjalanan, aspek-aspek keselamatan ini diabaikan. Sikap tidak berhemah ini boleh menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya yang akan meragut banyak nyawa. Langkah keselamatan perlu diambil ketika memandu kenderaan sebagai langkah berjaga-jaga seterusnya boleh mengurangkan kesan sekiranya berlaku kemalangan.Sikap pemandu juga penting ketika pemanduan.Setiap pemandu mesti mempunyai sikap berhemah ketika di jalan raya dan pemandu juga harus bersabar ketika memandu.Sikap tolak ansur penting kerana dapat melancarkan perjalanan.

Hormati orang yang lebih tua


Hormati orang yang lebih tua
Pada masa kini, budaya menghormati orang yang lebih tua kian pudar terutamanya dalam kalangan remaja yang terpengaruh dengan budaya luar yang dianggap sebagai punca terjadinya keadaan sedemikian.Budaya menghormati orang yang lebih tua sepatutnya dipraktikkan oleh generasi muda.Amalan menghormati orang yang lebih tua adalah suatu budaya yang telah diamalkan sejak sekian lama oleh generasi terdahulu.Tidak dinafikan bahawa bukannya tidak ada generasi muda yang menghormati orang yang lebih tua pada masa kini, namun budaya ini seolah-olah dilihat semakin dilupakan dan tidak lagi dipedulikan.Budaya ini sepatutnya diterapkan ke dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi, sesuai dengan kata pepatah Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.Seperti mana yang dimaklumi, untuk mengajarkan sesuatu itu haruslah bermula dari kecil.Bukan tidak boleh jika mengajar sesuatu ketika seseorang itu meningkat remaja, tetapi jika baru remaja sesuatu budaya itu mahu diajarkan, amalan itu tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Oleh itu, ibu bapa khususnya haruslah mengajarkan budaya menghormati orang yang lebih tua kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana pada peringkat usia kanak-kanak, mereka lebih senang mengikuti sesuatu yang diajarkan itu dan pada masa ini juga, anak-anak tidak pandai untuk membantah dan memberontak. Ibu bapa juga khususnya perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya anak-anak cenderung untuk mengikut perbuatan orang tuanya. Amalan menghormati orang yang lebih tua tidaklah susah. Sebagai contoh, memberi salam ketika bertemu, bertanya khabar, dahulukan orang yang lebih tua dalam setiap tindakan, bernada sopan ketika berbicara dan sebagainya. Oleh itu, jadikan amalan menghormati orang yang lebih tua sebagai amalan yang berterusan.

HORMATI KEPELBAGAIAN KAUM


HORMATI KEPELBAGAIAN KAUM
Di Malaysia, terdapat pelbagai kaum seperti kaum Melayu, China, India, dan juga etnik-etnik monoriti yang lain seperti kaum Melanau, Bidayuh, Iban, orang asli dan lain-lain. Kepelbagaian kaum ini sudah semestinya mempunyai pelbagai agama, anutan dan budaya.Masyarakat yang tinggal di dalam negara ini memainkan peranan yang penting dalam membangunkan negara yang berdaya saing dan dapat melahirkan negara yang aman damai. Melalui kepelbagaian kaum dan etnik ini, kita seharusnya saling hormat menghormati satu sama lain bagi mewujudkan perpaduan kaum, seterusnya dapat menjadikan negara ini aman dan bersatu-padu. Setiap kaum mempunyai peranan masing-masing dalam membangunkan ekonomi, sosial dan persekitaran yang maju bagi negara ini.Oleh itu, dalam membentuk sebuah negara yang utuh menjelang Wawasan 2020, semua kaum perlu bersatu-padu dan harus saling menghormati bagi mencapai sebuah negara yang maju.

PENGGUNAAN BAHASA RASMI


PENGGUNAAN BAHASA RASMI
Menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 152 (1), bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan.Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi bagi negara Malaysia, iaitu bahasa Melayu perlu digunakan untuk maksud rasmi. Sebarang urusan yang melibatkan upacara rasmi haruslah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi seperti dalam perbahasan Parlimen, urusan surat menyurat, urusan pos, urusan pentadbiran dan sebagainya.  Setiap negara mempunyai bahasa rasmi yang berbeza.Sebagai contoh, negara Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasminya manakala Singapura menggunakan bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil sebagai bahasa rasminya. Pengguanaan bahasa rasmi bagi sesebuah negara akan memudahkan urusan pentadbiran serta dapat menyenangkan pelbagai pihak yang berinteraksi di dalam negara. Oleh itu, penggunaan bahasa rasmi haruslah dimanfaatkan oleh masyarakat sesebuah negara kerana ia akan membantu memudahkan interaksi antara masyarakat dan negara.

LAGI BAHASA KASAR


LAGI BAHASA KASAR
Penggunaan bahasa kasar dalam komunikasi sememangnya sangat tidak sopan.Bahasa kasar merujuk kepada percakapan yang menggunakan bahasa yang kesat dan kasar seperti cis, setan (syaitan), babi, pukimak, lancau, bodoh dan sebagainya.Penggunaan bahasa kasar ini sepatutnya tidak digunakan semasa bercakap. Kebiasaannya, penggunaan bahasa kasar ini digunakan ketika berada dalam keadaan marah, tertekan, semasa  bergaduh dan sebagainya. Bahasa kasar ini kerap kedengaran keluar dari mulut seseorang tanpa mengira umur, malah budak-budak kecil sekalipun sudah pandai menggunakan bahasa kasar ini.Penggunaan bahasa kasar berlaku di mana-mana sahaja, malah dalam persidangan Parlimen juga berlaku keadaan sedemikian.Penggunaan bahasa kasar ini dilihat dapat menimbulkan kesan ke atas si pelaku dan juga mendatangkan kesan kepada orang yang menjadi mangsa. Bagi mangsa yang berhadapan dengan pelaku yang menggunakan bahasa kasar ketika berkomunikasi akan terasa hati dan keadaan ini mungkin boleh menimbulkan dendam dalam hati mangsa. Oleh itu, saya sangat berharap agar bahasa kasar tidak digunakan, khususnya ketika berkomunikasi dengan orang lain kerana perbuatan ini akan menimbulkan kesan buruk kepada pelaku dan juga mangsa. 

Monday, 22 October 2012

BAHASA ROJAK

Isu bahasa rojak bukanlah sesuatu yang ganjil lagi di negara ini. Di Malaysia, bahasa rojak merujuk kepada percakapan yang beralih kod, iaitu mencampurkan pelbagai bahasa ke dalam satu pertuturan, namun bahasa dasarnya adalah bahasa Melayu. Penggunaan bahasa rojak boleh dianggap sebagai penggunaan bahasa yang tidak betul, malah perbuatan ini boleh mendatangkan krisis dalam pembelajaran bahasa. Kewujudan penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan remaja dan golongan siswa siswi akan menjejaskan aktiviti pembelajaran bahasa.
Bahasa rojak telah pun mempunyai sejarahnya yang tersendiri di negara ini.  Bahasa rojak telah pun wujud seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, iaitu melalui sistem entrepot yang didirikan oleh Parameswara pada tahun 1402 di Melaka. Aktiviti perdagangan yang berlaku menarik ramai pedagang dan secara keseluruhannya, tedapat lebih 80 bahasa yang dituturkan di Melaka pada ketika itu oleh pedagang-pedagang asing.  Pedagang mengunapakai pelbagai bahasa dalam perbualan seharian ketika berdagang di Melaka. Mengikut Ensiklopedia Malaysia, ini merupakan sebahagian daripada pijin bahasa penghubung  yang dikenali sebagai Bahasa Rojak di Malaysia. Keunikan bahasa ini terdapat dalam gaya alihannya, seseorang mungkin memulai perbualan dalam bahasa Melayu dan kemudian menyambung dengan bahasa Inggeris, dan seterusnya mencampurkan satu atau dua perkataan bahasa Kantonis dan bahasa Tamil dan menamatkan ia dengan istilah bahasa Mandarin atau bahasa Jepun. Semasa pemerintahan Parameswara apabila dua kumpulan pedagang tanpa satu bahasa kongsian, mereka akan cuba untuk bertutur dalam apa jua bahasa untuk mendapat keputusan yang terbaik dalam memahami antara satu sama lain, dan hasilnya mungkin suatu pijin atau Rojak. 

Contoh bahasa rojak:

Bahasa Rojak (Bahasa Melayu campur bahasa Inggeris)
Kau memang terror (hebat) la!
Tempat makan ni best (bagus) sangat!

Bahasa Rojak (Bahasa Melayu campur bahasa Cina)
Nak makan sini ke nak tapau (bungkus)?
Jangan susah hati maa, lu punya bos mesti boleh kaw tim (bertolak ansur) punya maa!
Apasal (Kenapa) lu buat ini kerja cincai (tak sempurna)?

Tuesday, 16 October 2012

"TERIMA KASIH'

Pernahkan anda berterima kasih? Jika pernah, bagus! Teruskan amalan ini dan jika anda tidak pernah mengamalkan budaya berterima kasih, mulakan dari sekarang. Budaya berterima kasih merupakan satu amalan yang sangat baik dan ucapan terima kasih adalah sebagai tanda penghargaan kita pada seseorang atas khidmat yang diberikan kepada kita. Pelbagai situasi yang membolehkan kita berterima kasih. Sebagai contoh, anda menaiki bas dan ketika hendak turun dari bas, ucapkanlah terima kasih kepada pemandu bas. Tidak berat kan ucapan terima kasih? Tidak sampai lima saat pun dan anda tidak rugi apa-apa pun jika berterima kasih. Selain itu, jika anda jurujual, ucapkan terima kasih kepada pembeli mahupun kepada pelanggan yang hanya melihat sahaja. Amalan berterima kasih akan mendatangkan rasa gembira kepada pembeli dan ucapan terima kasih itu merupakan satu daya tarikan kepada pengguna untuk terus berkunjung ke kedai anda. Seterusnya, kita boleh juga berterima kasih kepada seseorang mengikut keadaan dan situasi yang  betul. Jangan pula kerana mahu membudayakan amalan berterima kasih, kita mengucapkan terima kasih sekiranya orang lain memaki hamun kita. Tidak semua amalan memerlukan kita mengucapkan terima kasih. Sebarang perbuatan yang mendatangkan kebaikan dan memberi perkhidmatan kepada kita, sememangnya wajar kita berterima kasih. Sebagai contoh lagi, orang lain membantu kita ketika kita dalam kesulitan, memberi nasihat kepada kita, menyediakan perkhidmatan kepada kita dan sebagainya lagi. Jadikan ucapan terima kasih sebagai budaya hidup kita agar kita sentiasa rasa dihargai. Walaupun ucapan terima kasih itu tampak remeh, namun ungkapan terima kasih itu sendiri boleh menjadi peneguhan positif kepada seseorang. Pemandu bas umpamanya, jika kita berterima kasih kepada mereka, tidaklah mereka berasa diri mereka itu pekerja semata-mata, malah dengan ucapan terima kasih, mereka akan lebih rajin dan ikhlas dalam menjalankan tugas mereka.

PEMBUANGAN SAMPAH

Pembuangan sampah di merata-rata tempat kerap kali menjadi isu yang hangat diperkatakan dalam liputan media massa, malah turut menjadi bualan masyarakat yang cintakan alam sekitar. Sikap cinta kepada alam sekitar belum lagi terpupuk ke dalam jiwa setiap insan yang mendiami alam ini. Hanya segelintir golongan sahaja yang sedar akan pentingnya kebersihan alam sekitar kepada manusia. Sikap membuang sampah merata-rata boleh dilihat di mana-mana sahaja seperti di tepi jalan, di dalam sungai, di dalam longkang dan sebagainya. Pembuangan sampah merata-rata sememangnya mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar dan juga kesihatan manusia akan terjejas. Bau yang dihasilkan oleh sampah akan membawa virus-virus yang berbahaya kepada manusia. Pembuangan sampah di merata tempat juga turut mengundang penyakit kepada manusia dan penghuni alam yang lain. Sampah-sampah yang bertakung dalam longkang misalnya akan membiakkan nyamuk aedes dan nyamuk itu akan hinggap pada tubuh manusia seterusnya merebakkan penyakit denggi, dan bagi kes denggi yang teruk boleh membawa maut. Semuanya berpunca daripada sikap manusia itu sendiri yang tidak mementingkan kebersihan.


Memandangkan masalah ini boleh membawa bencana ke atas penghuni alam ini, kita sepatutnya menanam rasa kesedaran dalam diri akan pentingnya alam sekitar yang bersih kepada kesihatan manusia. Oleh itu, buanglah sampah di tempat yang sepatutnya, iaitu ke dalam tong sampah. Sekiranya di kawasan tempat tinggal kita tiada tong sampah, minta pihak majlis daerah masing-masing sediakan tong sampah bagi kemudahan masyarakat. Sama-samalah kita berusaha memelihara kebersihan alam sekitar kita.

DI MANA SIVIKNYA?

Amalan meludah merata-rata merupakan satu perbuatan yang jijik dan tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan masyarakat yang makin berkembang inteleknya. Amalan meludah merata-rata dapat dilihat di mana-mana sahaja. Saya terpanggil untuk menulis entri berkaitan amalan meludah kerana saya sendiri telah berhadapan dengan masyarakat peludah jalanan. Sangat menjijikkan apabila berhadapan dengan situasi ini. Di setiap langkah, terutamanya ketika bejalan di sekitar kawasan Masjid India, Jalan Chow Kit, Sogo dan tempat-tempat lain seperti di lorong-lorong, jejantas, di dalam lif dan sebagainya, akan ada air ludah. Satu situasi yang saya alami, iaitu ketika berada di Masjid India, bangsa asing tertamanya suka mengamalkan budaya meludah di merata-rata tempat tanpa menghiraukan pengguna yang lain. Mereka suka meludah di laluan orang ramai. Kebanyakan mereka suka makan sireh dan tanpa rasa bersalah meludah di merata-rata tempat. Amalan ini sangat jijik terutamanya bila dipandang oleh pelancong asing. Ke mana saja kita berjalan pasti akan kelihatan air ludah. Bukan sahaja di lorong-lorong, malah kebanyakan mereka yang tidak bertanggungjawab turut meludah di dalam kenderaan awan seperti di dalam komuter dan di dalam bas. Mereka bukan sahaja meludah air liur, tetapi ada juga segelintir yang meludah sekali gula-gula getah. Pasti anda pernah mengalami situasi terpijak gula-gula getah pada kasut kan? Sangat menyakitkan hati bila kita mengalami situasi ini. Kesimpulannya, jangan amalkan budaya meludah di merata-rata tempat. Tidak salah untuk meludah, tetapi ludahlah di tempat yang sepatutnya dan bukannya di laluan orang ramai lalu lalang. 

Friday, 12 October 2012

SALAM DALAM LAMAN SOSIAL

Pada alaf yang serba canggih ini, masyarakat hari ini berkomunikasi menggunakan laman sosial seperti Twitter, Facebook, Skype dan seumpamanya bagi memperkatakan tentang sesuatu isu semasa, bertanya khabar, berdiskusi dan sebagainya. Permulaan bicara biasanya dimulakan dengan ucapan salam. Sememangnya budaya memberi salam itu adalah perkara yang sangat dituntut dalam agama kerana melalui salam, bermakna kita mendoakan seseorang. Walaubagaimanapun, budaya memberi salam itu tidak dilakukan dengan cara yang betul. Terdapat sesetengah masyarakat yang memandang remeh budaya memberi salam yang salah. Sebagai contoh salam yang biasa digunakan di laman sosial seperti mekom, smekom, askum, alaikum dan seumpanya yang salah disisi agama. Gejala memberi salam dengan cara yang tidak betul dilihat semakin menular dalam kalangan masyarakat hari ini, terutamanya golongan remaja. Pengucapan salam seumpama itu tidak memberi apa-apa makna, malah kita telah berdosa kerana memberi salam dengan tidak betul, malah gejala memberi salam yang salah juga seumpama mempermainkan agama. Oleh itu, saya berharap agar amalan tersebut dibetulkan dan berilah salam dengan sempurna supaya maksud salam itu sendiri sampai sebagai doa kepada orang yag diberi salam itu. Sekian, terima kasih.

Wednesday, 10 October 2012

PERBEZAAN DIALEK

Dialek tergolong dalam laras bahasa sosial dan juga merupakan variasi bahasa apabila variasi bahasa itu masih difahami oleh oleh pengguna dalam sesuatu masyarakat bahasa walaupun ada pembahagian geografi .  Perbezaan dialek yang digunakan di sesuatu daerah atau kawasan memang ketara.Dalam situasi di bawah, dapat dilihat bahawa dialek yang berbeza boleh mencetuskan makna yang berbeza, walaupun sebutannya sama. Sebagai contoh, dialek Kelantan dan dialek Terengganu. Walaupun kedudukan negeri Terengganu dan Kelantan adalah bersebelahan, namun wujud perbezaan dialek bagi kedua-dua negeri itu.



Dialek Kelantan merupakan dialek Melayu yang paling banyak mempunyai beza sebutan dari dialek-dielak Melayu di Semenanjung.Selain beza sebutan, dialek Kelantan juga mempunyai banyak perkataan yang berbeza. Ciri utama dialek Kelantan adalah penggantian huruf ‘n’ dan ‘ng’ di belakang kata dengan huruf ‘e’ (sama dengan bunyi e dalam kata Beca)

Ejaan Standard Dialek Kelantan

Kawan- Kawe
Bulan -Bule
Terang- Teghe
Tenang- Tene
Bukan -Buke
Tangan- Tange
Huruf ‘a’ di belakang kata juga diganti dengan bunyi ‘o’

Ejaan Standard Dialek Kelantan

Apa -Gapo
Saya- Ambo
Mana -Mano

Perbezaan kata antara dialek Kelantan dengan Bahasa Melayu Standard

Ejaan Standard Dialek Kelantan
Satu (dua, tiga empat…)- Se (dua, tiga empat…)
Saya -Kawe / ambo
Awak / Kamu -Demo
Bagaimana- Guano
Cakap-Kecek
Duit- Pitih
Gaduh- Gocho
Juara -Jogho
Kelapa- Nyo
Kawan - Saing

Dialek Terengganu juga mempunyai gaya percakapan penutur yang hampir sama seperti dialek Kelantan. Bagaimanapun ianya berbeza dari segi sebutan. Ciri utama dialek Terengganu adalah penambahan huruf ‘g’ bagi kata-kata yang berakhiran dengan ‘n’. Contoh:

Ejaan Standard Dialek Terengganu
Makan -Makang
Ikan -Ikang
Bukan- Bukang
Badan -Badang
Pun -Pung
Zapin- Zaping
Kemaman- (nama daerah) Kemamang
Jalan -Jalang
Hujan -Hujang

Dalam dialek Terengganu huruf ‘a’ di akhir kata juga diganti dengan bungi ‘Ä›’ yang jelas sebagaimana dielak Perak (selatan)

Ejaan Standard Dialek Terengganu Dialek Kelantan

Apa -Apěě/ Gapo
Mana -Maněě/ Mano
Ada -Aděě/ Ado

Pengguguran huruf ‘m’ didalam kata-kata seperti :

Ejaan Standard Dialek Terengganu
Jumpa -Jupěě
Sampai -Sapaa

Terdapat juga sedikit perbezaan kata didalam dialek Terengganu seperti contoh berikut:

BM Standard Dialek Terengganu

Duit- Pitih
Selalu- Sokmo
(ada diantaranya sama dalam dialek Kelantan)




Contoh situasi: perbualan antara menantu Terengganu dengan mertua Kelantan




Menantu: mok, nati gi pasar, beli ketang kita sekilo.

Mertua: baiklah, nanti mok beli. (mentua terus ke pasar)
setelah balik dari pasar
Menantu: mok, mana ketang hok kita pesang nyo?
Mertua: ni la ketang (ubi kentang) hok mu pese (pesan) tu
Menantu: (tergelak) bukang ketang ni hok kita nok, kita nok ketang (ketam) hok ada sepit tu .



Berdasarkan situasi di atas, jelas menungjukkan bahawa wujud perbezaan pada dialek, sama ada melalui sistem fonetiknya dan juga makna.

Tuesday, 9 October 2012

BUDI BAHASA BUDAYA KITA

Saya telah mengalami satu situasi pada suatu petang ketika berada di atas bas untuk ke Kuala Kubu Baru. Bas yang saya naiki ini hanya berhenti di perhentian bas sahaja. Setelah beberapa minit berada di atas bas itu, bas itu kemudiannya berhenti di satu stesen dan kemudian beberapa orang warga Indonesia naik ke atas bas itu. Bas itu kemudiannya meneruskan perjalannya. Selang beberapa minit turun pula penumpang yang lain dan begitulah rutinnya untuk hari itu. Sampai sahaja di lampu isyarat berdekatan Kuala Kubu Baru, bas pun berhenti. Dua minit kemudian bas itu bergerak semula bago meneruskan perjalanan dan tiba-tiba seorang penumpang Indonesia berjalan menuju ke arah pemandu bas. Ketika sampai di tempat pemandu tersebut, warga Indonesia itu meminta pemandu bas berhenti. Pemandu bas itu pun dengan marahnya memekik perkataan ini, "Bodoh ke? Sini bas tak berhenti!". Saya turut terkejut dengan teriakan itu, namun saya hanya mampu menjadi pemerhati sahaja.
Warga Indonesia itu pun duduk kembali di tempatnya dan terpaksa turun agak jauh dari tempat dia tinggal. Mengenangkan situasi itu, saya mula terfikir. Tidak ada bahasa yang haluskah untuk digunakan? Kenapa bahasa kasar juga yang kita pilih? Berdasarkan situasi di atas, saya sangat mengharapkan agar kita khususnya warga Malaysia menggunakan bahasa yang berbudi dan sopan, terutamnya ketika berkomunikasi sesama manusia.

Wednesday, 3 October 2012

KESANTUNAN BERBAHASA

Assalamualikum para pembaca setia...
Saya sangat tertarik dengan sesi kuliah Sintaksis pada hari ini. Semasa sedang khusyuk mendengar taklimat dari pensyarah, tiba-tiba telefon bimbit pensyarah berbunyi. Beliau bercakap sebentar. Pensyarah kami memberitahu bahawa si pemanggil tersebut membahasakan dirinya sebagai Idah. Kata si pemanggil itu ketika perbualan telefon tersebut bahawa dia akan menelefon sebentar lagi dan ini ayat yang digunakannya semasa perbualan itu, " nanti Idah telefon kemudian" memandangkan pensyarah kami sedang mengajar.

Menurut Amat Juhari Moain (1992), kesantunan berbahasa adalah kesopanan dan kehalusan dalam menggunakan bahasa ketika berkomunikasi sama ada melalui lisan atau tulisan. Bahasa yang digunakan penuh dengan adab tertib, sopan santun dan mengandungi nilai-nilai hormat yang tinggi.
Sebagaimana terlihat dalam situasi di atas, jelaslah bahawa kesantunan berbahasa atau penggunaan Bahasa yang bersantun banyak bergantung pada pemilihan kata sapaan atau panggilan yang tepat. Semasa seseorang individu berkomunikasi dengan seseorang individu yang lain, pemilihan kata yang digunaan ditentukan oleh beberapa faktor seperti hubungan peribadi antara dia dengan orang yang dilawan cakap, usia dan juga status.

Persoalannya di sini, kita seharusnya tahu dengan siapa kita sedang bercakap. Kita tidak boleh membahasakan diri kita dengan kata ganti diri seperti itu untuk tujuan percakapan rasmi . Seeloknya, si pemanggil membahasakan dirinya "saya" bagi menggantikan namanya. Tuntasnya, kita haruslah menggunakan kata sapaan yang betul dengan situasi yang kita alami.

BAHASA KASAR

Pada suatu hari, saya telah pergi ke kedai makan untuk makan malam bersama kakak. Pelayan kedai tersebut adalah berbangsa Siam. Ketika sampai di kedai makan itu, saya dan kakak duduk di meja yang bersebelahan dengan sekumpulan lelaki-lelaki tua. Dalam kalangan mereka itu, ada di antaranya yang memakai kopiah putih dan berkain pelekat. Semasa kami sedang menjamu selera, kedengaran suara seorang lelaki tua dari sebelah saya memanggil pelayan untuk memesan air dengan memanggilnya begini, "Woi, sini! ", namun pelayan-pelayan yang ada tidak mendengar sahutannya itu. Sekali dipanggilnya tidak berjawapan, lelaki tua itu terus memanggil buat kali keduanya. Dia memanggil pelayan dengan bahasa yang kasar, katanya "Woi, Siam! aku nak order air ni" (sambil ketawa terbahak-bahak dengan geng-geng dia). Saya yang berada di sebelah mereka merasa berdesing  telinga mendengarkan perkataan tersebut. Inikah bahasa yang kita gunakan untuk memanggil orang? Sepatutnya, kita bangsa yang punya adab haruslah menggunakan bahasa yang baik untuk memanggil seseorang. Sebagai contoh, panggillah pelayan tersebut "Dik".Bukankah panggilan begitu lebih mesra dan sedap didengar. Bukan untuk mengajar, namun perkara ini menjadi bualan pelanggan-pelanggan lain yang ada di situ pada malam itu. Pelayan kedai itu yang mendengar lelaki tua tersebut memanggil mereka begitu, terus tidak jadi untuk mengambil pesanan lelaki tersebut. Lelaki-lelaki itu menimbulkan kekecohan dengan membaling cawan dan pinggan yang ada di atas meja ke atas jalan raya. Tanpa segan silu, mereka ketawa seperti orang gila. Cuba letakkan diri anda dalam situasi pelayan kedai makan itu dan apakah perasaan anda bila orang memanggil kita dengan menggunakan bahasa kasar? Semestinya anda pun akan marah dan tidak akan mengambil pesanan pelanggan seperti mereka.
Jelasnya di sini, berdasarkan situasi yang saya alami di atas, saya menyeru agar saudara-saudari menggunakan bahasa yang sopan untuk menegur dan memanggil seseorang. Kita merupakan bangsa yang bertamadun. Sekiranya kita menunjukkan contoh teladan yang tidak baik kepada masyarakat luar, semestinya bangsa kita akan dipandang hina sedangkan bangsa Melayu ini terkenal di serata dunia sebagai bangsa yang sopan dan beradab.

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga;
Yang cantik itu budi, 
Yang indah itu bahasa.

Anak teruna tiba di barat,
Dari Makasar langsung ke Deli;
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak dijual beli.

Akhir kata penyudah bicara, sekian terima kasih.

Thursday, 27 September 2012

"PERIBAHASA SENDIRI"

Berdasarkan tajuk "Peribahasa Sendiri", mungkin anda terfikir akan peribahasa yang wujud di alaf baru ini. Semenjak dua menjak ini, ramai yang lebih gemar membuat-buat peribahasa sendiri berdasarkan pemikiran mereka. Hal ini dapat dilihat sendiri menerusi laman sesawang "Facebook", "twitter" dan sebagainya. Penciptaan peribahasa sendiri seakan-akan sudah menjadi fenomena di alam maya khususnya. Kebanyakan pengguna bahasa mencipta peribahasa berdasarkan fenomena yang berlaku di sekeliling dan berdasarkan pengalaman yang ditempuhi. Hal ini sudah menjadi perkara biasa terutamanya ketika "chatting" di laman "facebook". Sebagai contoh:

"siapa makan nasi, dia rasa kenyang"


KESALAHAN EJAAN PADA PAPAN TANDA

Papan tanda boleh didapati di mana-mana sahaja seperti di lebuhraya, di persimpangan jalan, di kedai-kedai dan sebarang tempat yang lain. Sesetengah orang sangat prihatin dengan pernyataan pada papan tanda kerana melalui papan tanda, kita dapat menuju ke tempat yang betul dan kita dapat mengenalpasti nama-nama tempat, namun demikian ada juga sesetengah pihak yang tidak prihatin dan tidak ingin mengambil tahu tentangnya. Cuba kita perhatikan sesetengah papan tanda, ada yang menunjukkan kesalahan bahasa atau ejaan. Di bawah ini, saya paparkan  salah satu daripada papan tanda yang mempunyai kesalahan ejaan.


Perkataan "pump" tidak seharusnya digunakan kerana papan tanda ini menggunakan bahasa Melayu keseluruhannya, kecuali perkataan ini sahaja. "Pump" ini dieja dalam bahasa Inggeris dan harus ditukar kepada perkataan "pam". Walaupun hal ini nampak remeh, namun kita harus mengambil berat akan hal ini supaya bahasa kita tidak dianggap bahasa yang tidak mempunyai jati diri.

"Bahasa budaya bangsa"

PENGGUNAAN BAHASA SLANGA DALAM KALANGAN REMAJA

Remaja pada masa kini banyak menggunakan istilah-istilah bahasa yang kurang difahami oleh golongan yang sudah berusia. Mereka banyak menggunakan istilah-istilah baru yang tidak pernah wujud dalam kamus bahasa Melayu dahulu. Bahasa yang digunapakai oleh mereka ini disebut bahasa slanga. Beberapa pendapat umum yang dikemukakan oleh orang ramai yang mendefinisikan bahasa slanga sebagai bahasa dialek, namun ada juga yang mengatakan bahasa slanga sebagai bahasa mesra. Sebenarnya menurut Kamus Dewan, bahasa slanga ialah kata-kata, ungkapan dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetapi lazim digunakan dalam percakapan tidak rasmi.

Salah satu daripada jenis bahasa tak formal ialah bahasa slanga. Apabila diajukan pertanyaan kepada mereka apakah yang dimaksudkan dengan 'slanga', pelbagai jawapan diberikan. Ada yang menyatakan bahawa slanga ialah dialek, ada yang mengaitkan slanga dengan cara pertuturan dan ada juga yang menyatakan slanga sebagai bahasa mesra. Walaupun bentuk bahasa slanga termasuk dalam jenis bahasa bahasa tak formal yang digunakan untuk perbualan biasa,namum pengaruh bahasa slanga ini kepada remaja agak membimbangkan.


Menurut “The Oxford Companion to the English Language” oleh Tom McArthur (1996) istilah slanga ini berasal dari abad ke-18 yang bermaksud “origin uncertain” iaitu ketidaktentuan sebenarnya. Secara etimologi kata, slanga berasal dari kata “sling” iaitu sebahagian daripada ungkapan yang dihubungkaitkan dengan “beggar language and rogues language” iaitu bahasa kelompok pengemis dan anak jalanan. Slanga merupakan kosa kata yang tidak baku, tidak standard, sering kali berubah dan secara umum berbeza dengan kata kosa kata lainnya. Slanga sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja.

Golongan remaja yang mempopularkan bahasa slanga selalunya memanipulasikan ungkapan atau perkataan dengan memberi makna baharu kepada perkataan tersebut, contohnya cun,mengancam, bro, wak lu, wa, der, cikaro, balak, usya, hampeh, kantoi, poyo, kacang, ayat, awek, pakwe, skima, jambu, skodeng, member sound dan sebagainya. Penggunaan bahasa slanga bukanlah fenomena baru yang melanda bahasa Melayu. Bahasa slanga juga turut dipopularkan oleh penyanyi rock. Ungkapan-ungkapan yang popular pada awal tahun 80-an ialah tangkap cintan, tangkap leleh, mengancam, tangkap nangis di samping penggunaan ganti nama 'lu' dan 'gua'.

Melalui ruangan 'chatting' dalam internet pula pelbagai bentuk slanga terhasil, antaranya, slanga yang terbentuk daripada percantuman dua perkataan seperti pekabor (daripada apa khabar), askum (assalamualaikum), saya menjadi sayer, mana menjadi maner dan banyak lagi. Pengaruh bahasa slanga yang semakin berkembang penggunaannya mendatangkan kerisauan kepada ibu bapa, malah bagi para pingustik juga yang tidak begitu setuju dengan pengaruh bahasa slanga ini. Pada saya, walaupun perkembangan bentuk slanga tidaklah begitu membimbangkan, saya khuatir penggunaannya akan menular daripada bentuk lisan kepada bentuk penulisan. Penggunaan bahasa slanga jika tidak dipantau dibimbangi akan merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu hari ini, lebih-lebih lagi dengan kedudukan bahasa kita yang seolah-olah makin tiada tempat lagi di negara sendiri.

PENGGUNAAN BAHASA SISTEM PESANAN RINGKAS (SMS)


Sistem Pesanan Ringkas (SMS) merupakan alat yang menjadi penghubung bagi seseorang individu dengan individu yang lain. Penggunaan bahasa SMS dikatakan merosakkan bahasa, terutamanya bahasa Melayu. Penggunaan simbol, kod dan perkataan singkatan tertentu secara meluas itu dikatakan punca kemerosotan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat dan pelajar sekolah. Ramai pengguna telefon mudah alih yang menggunakan singkatan perkataan semasa menggunakan perkhidmatan SMS. Bahasa SMS bukan sahaja digunakan semasa menghantar pesanan rinkas, malah perkara ini telah menular ke dalam penulisan di blog-blog, di laman sesawang dan penulisan rasmi. Kebanyakan pelajar sekolah pula menggunakan bahasa SMS dalam penulisan mereka ketika sesi persekolahan. Hal ini sudah semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Penggunaan bahasa yang minimum itu tidak salah jika hanya digunakan ketika berhubung melalui SMS, seperti juga menulis dengan ringkas. Masalah timbul apabila penggunaan bahasa SMS terbawa-bawa kepada penggunaan rasmi hingga merosakkan bahasa.

Contoh bahasa SMS:

mnggu nih , Analytic Aku meningkat.. maybe tuh jugak la salah satu daripada sbab2 Uncle nuff xsegan-silu nak bagi Aku B.E yg ke-4 nih..hehe! but Aku tngok carta2 Aku nih.. trase mcm klakar ye.. tinggi rendah.. yg 28/11 tuh Aku xtau la cmne bley jadi tinggi smcm je.. smpai 574.. perhh~ pecah rekod Aku tuh..haha! erm.. maybe sbab Aku rajin ngat kot update entry ari tuh.. xpn rajin wat keje.. ala.. keje ape agi.. blog walking la..huhu.. lupe plak.. klau ade sape2 yg lawat dan dah tinggalkan jejak dye kat ShoutMix Aku tuh.. Aku x blas.. sorry la sume.. Aku bkn nye xnak blas lawatan sambil belajar korng tuh.. Aku t'lepas pandang kot.. bkn nye Aku sngaje.. Aku agi suke gie lawat blog orang

Penggunaan bahasa ringkas ini boleh, tapi kita harus tahu untuk menggunakannya pada tempat yang betul dan penggunaan bahasa SMS ini tidak boleh digunakan dalam konteks penulisan rasmi. Oleh itu, seseorang pengguna bahasa itu harus bijak dalam menggunakan bahasa.

"Bahasa melambangkan bangsa"


Wednesday, 26 September 2012

KESALAHAN PENGGUNAAN KATA SENDI NAMA "ke"

Cuba perhatikan gambar di bawah. Terdapat kesalahan bahasa yang wujud pada tulisannya.

gambar ini diambil di sebuah sekolah rendah

Berdasarkan gambar di atas, terdapat kesalahan ejaan bagi penggunaan kata sendi nama ke. Kata sendi nama ke digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju serta digunakan juga di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan waktu atau masa. Kata sendi nama ke perlu dieja sebagai satu kata yang terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya

Pembetulan: ke liang

Selain itu, kesalahan ejaan juga wujud pada frasa di atas.

"lahat"
Perkataan "lahat" tidak membawa makna yang tertentu dalam bahasa Melayu. Perkataan yang sepatutnya ditulis bagi membetulkan kesilapan di atas ialah:

"lahad"

Sekian, terima kasih.



Tuesday, 25 September 2012

PEMBUKA BICARA

Assalamualaikum..
Blog ini ditubuhkan bagi memenuhi tugasan Sosiolinguistik yang diambil bagi semester ini. menerusi blog ini, saya akan cuba memperbetulkan kesalahan-kesalahan bahasa yang berlaku pada masa kini. Diharapkan agar dengan tertubuhnya blog ini, kalian juga akan mendapat manfaat darinya. Sekian, terima kasih.